Thursday, April 2, 2009

3PD perkukuh peranan perpustakaan desa

JOHOR BAHRU 15 Mac (Utusan)- Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bercadang untuk memperkenalkan Pelan Pembangunan Perpustakaan Desa bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaannya agar ia benar-benar memberi faedah kepada masyarakat luar bandar.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelan pembangunan desa atau 3PD itu akan dilaksanakan bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini sehingga 2011.
Katanya, 3PD berteraskan kepada tiga elemen utama iaitu mewujudkan jawatankuasa perpustakaan desa, memperluaskan peranan dan perkhidmatan perpustakaan desa serta membabitkan syarikat swasta dan badan korporat.
''Ketiga-tiga elemen yang dicadangkan itu dilihat akan memberi satu anjakan kepada mutu dan kualiti perpustakaan desa sedia ada.
''Anjakan ini penting bagi memastikan tiada jurang maklumat di antara kawasan bandar dan luar bandar dalam usaha kita memajukan negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perpustakaan Desa 2009 yang dihadiri seramai 1,000 peserta, di sini hari ini.
Mohd. Shafie berkata, sehingga kini terdapat 1,089 buah perpustakaan desa di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 614 buah adalah di bawah seliaan kerajaan negeri dan selebihnya di bawah seliaan Perpustakaan Negara.
Pembinaan perpustakaan itu juga memberi peluang pekerjaan kepada lebih 1,500 rakyat Malaysia.
Beliau memberitahu, sebanyak 50 buah perpustakaan desa akan dibina setiap tahun dengan melibatkan kos kira-kira RM200,000.
Pembinaan tersebut adalah sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat di semua peringkat umur untuk membentuk insan yang berilmu.

No comments: