Thursday, April 2, 2009

Perpustakaan ‘rumah ke rumah’

KUALA LUMPUR 24 Mac(Utusan) – Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bakal menyediakan perkhidmatan pinjaman buku dari rumah ke rumah kepada orang ramai.
Ketua Pengarah PNM, Raslin Abu Bakar berkata, pendekatan unik itu merupakan strategi dalam melaksanakan program perkhidmatan perpustakaan desa yang lebih menarik dan dinamik .
‘’Perkhidmatan ini memberi peluang kepada masyarakat bagi menambah pengetahuan melalui bahan bacaan yang disediakan oleh PNM.
‘‘Ia turut bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan membaca terutama di kalangan masyarakat luar bandar,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Bioteknologi 2009 di Perpustakaan Negara di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut Naib Presiden Kanan, Bahagian Perancang dan Strategi Biotech Corp., Mohd. Yazid Abd. Hamid.
Raslin memberitahu, program berkenaan telah berjalan selama sebulan bermula awal bulan ini.
‘‘Petugas-petugas perpustakaan akan pergi dari rumah ke rumah bagi memberi perkhidmatan pinjaman buku.
‘‘Dalam tempoh tersebut, masyarakat menyambut baik perkhidmatan yang disediakan. Program ini akan diteruskan supaya masyarakat mendapat pendedahan serta memupuk minat membaca bagi semua peringkat umur,’’ katanya.

No comments: